Welcome to My Website

Semua tulisan di dalam weblog yang diambil untuk paparan di mana-mana medium sama bercetak atau secara maya, hendaklah disertakan sekali pautan kepada weblog ini.

‘Amir Siddiqiy (عَامِر صِدِّيقِي)

Ditulis oleh kawakib_duriyah Jumaat, Disember 26, 2008 1 ulasan

Ramai bertanya tentang nama anak kami yang telah lahir 16 Disember lepas. Setelah mencari nama yang sesuai, kami bersetuju untuk menamakan anak ini dengan nama ‘Amir Siddiqiy (عامر صديقي). Pasti sesiapa pun akan bertanya, apa makna nama ini? Tetapi saya lebih suka orang bertanya, kenapa diletakkan nama ini? Eh! Mengapa mesti soalan begini? Tentu ada kisah disebalik nama ini. Biasanya sesetengah orang suka menamakan anak kerana maknanya yang baik, nampak moden dan kontemporari, atau mungkin nama datuk nenek yang banyak berjasa kepada masyarakat dan mungkin juga kerana tokoh-tokoh agamawan atau politik tertentu sama ada terkenal atau tidak.

Namun begitu saya memilih nama ini adalah kerana ia adalah nama para sahabat Nabi s.a.w. Wujudkah sahabat yang bernama ‘Amir Siddiqiy? Tidak. Ia adalah gabungan dari dua orang nama sahabat r.a. yang banyak menyumbang dalam gerakan perjuangan Islam. Tentu kita ingat peristiwa Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Baginda telah dibantu oleh beberapa orang sahabat r.a. melaksanakan perintah Allah s.w.t. itu. Antara yang utama ialah hampir seluruh keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.a. Di bawah ini dinukilkan riwayat peristiwa hijrah Nabi s.a.w. dari rumah Abu Bakr al-Siddiq r.a. Hadith ini adalah riwayat Aisyah r.a. yang direkodkan oleh oleh al-Imam al-Bukhari r.h. di dalam Sahih al-Bukhari;

‘Aisyah berkata: “Pada suatu hari ketika kami sedang duduk di dalam rumah Abu Bakar di tengah hari seseorang berkata kepada Abu Bakar: “Inilah Rasulullah s.a.w. (datang) dengan bertudung kepala - pada suatu waktu di mana beliau belum pernah mendatangi kami pada waktu (seperti) itu. - Abu Bakar berkata: “Sebagai tebusan bahaginya adalah ayah dan ibuku Demi Allah, beliau tidak datang pada saat seperti ini, kecuali ada sesuatu (urusan)". 'Aisyah berkata: "Rasulullah s.a.w. datang seraya minta izin. Lalu ia memberi izin kepada beliau dan masuk", Selanjutnya Nabi s.a.w. bersabda kepada Abu Bakar: "Keluarkanlah orang-orang yang ada di dekatmu". Abu Bakar menjawab: "Mereka hanyalah keluargamu, dengan ayahku engkau ditebusi, wahai Rasulullah". Beliau bersabda: "Diriku benar-benar diizinkan untuk keluar". Abu Bakar bertanya: "(Apakah termasuk) sahabat, dengan ayahku engkau ditebus, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya". Abu Bakar berkata: "Dengan ayahku engkau ditebus, wahai Rasulullah, maka ambillah salah satu dari dua untaku ini. Rasulullah s.a.w. bersabda: "(Tetapi harus) dengan harga".

'Aisyah berkata: "Lalu kami menyiapkan kedua unta itu dengan persiapan secepatnya. Kemudian kami membuatkan bekal untuk mereka berdua di dalam kantong. Kemudian 'Asma binti Abu Bakar memutus ikat pinggangnya dan mengikatkannya pada mulut kantong itu. Maka dengan demikian ia disebut dengan "Dzatun Nitaqayn" (wanita yang memiliki dua ikat pinggang).

'Aisyah berkata: "Kemudian Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar menyusul ke gua di gunung Thur, mereka bersembunyi di situ tiga malam. Abdullah bin Abu Bakar, seorang pemuda yang cerdik lagi cepat pemahamannya ikut bermalam di sisi mereka berdua. Ia keluar dari sisi mereka berdua pada waktu sahur, lalu pagi harinya ia berkumpul dengan orang-orang Quraisy di Makkah seperti layaknya orang yang bermalam. Ia tidak mendengar sesuatu (rahsia) yang akan memperdayakan mereka berdua, kecuali ia menjaganya sampai ia membawa berita itu kepada keduanya disaat malam mulai kelam. 'Amir bin Fuhairah -bekas hamba Abu Bakar - menggembalakan kambing untuk diperah susunya bagi keduanya, lalu ia menuntun kambing itu di dekat mereka berdua di saat sebahagian waktu Isya’ telah lewat. Maka keduanya bermalam dengan mendapat susu segar, -iaitu susu kambing perahannya dan susu yang dicelup batu panas, - hingga 'Amir bin Fuhairah menyeru pada kambing itu pada waktu menjelang fajar. Ia melakukan hal itu setiap malam selama tiga malam. Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar mengupah seorang lelaki Bani Daiyl, iaitu dari Bani 'Abd bin 'Adiy untuk menjadi pemandu yang ahli, padahal ia telah bersumpah pada keluarga 'Ash bin Wail al-Sanmiy. Ia adalah pemeluk agama orang-orang kafir Quraisy, namun mereka berdua mempercayainya. Lalu keduanya menyerahkan kedua untanya kepadanya dan menjanjikan dia di gua Thur setelah tiga malam dengan membawa kedua unta mereka pada subuh, hari ketiga. Dan berangkatlah 'Amir bin Fuhairah dan pemandu itu bersama mereka berdua (Nabi s.a.w. dan Abu Bakar). Lalu pemandu itu mengambil jalan pantai bersama mereka.

Takhrij : Hadith riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari. Direkodkan di dalam Kitab Manaqib al-Ansar, Bab Hijrah Nabi s.a.w. dan Para Sahabat Baginda ke Madinah, No. Hadith 3715.

Riwayat ini diambil dari matan yang panjang yang dinukilkan di dalam Sahih al-Bukhari. Dua nama yang telah dihitamkan itu adalah dua orang sahabat yang menemani Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Iaitu Abu Bakr al-Siddiq r.a. dan ‘Amir bin Fuhairah r.a. bekas hamba Abu Bakr r.a. Sempena tahun baru hijrah 1430H ini kami menamakan anak lelaki kami yang lahir ini dengan nama dua orang sahabat r.a. ini;

‘Amir bin Fuhairah r.a. + Abu Bakr al-Siddiq r.a. = ‘Amir Siddiqiy

Semoga semangat kedua sahabat r.a. ini membantu perjuangan Rasulullah s.a.w. meresapi ke dalam jiwa anak kami dan berusaha untuk memajukan diri, keluarga dan masyarakat. Amin...

Kasih hati kasih suci
Kasih Ilahi kasih sejati
Panahan kasih masuk diresapi
Ditapis iman ditapis ihsan
Mohon bertahan hingga ke mati
Mohon tersergam hingga syurgawi
Mohon dikasih ibu, ayah serta Ilahi
Tiada kasih ibu seperti
Kasih ayah tidak bertepi
Kasih Ilahi hingga abadi

“Ikhlas dari Ummi dan Abah untuk anak dikasihi ‘Amir Siddiqiy”

Kawakib Duriyah
25 Disember 2008, 10.00 malam
Tumpat, Kelantan

Pengalaman Pertama

Ditulis oleh kawakib_duriyah Rabu, Disember 24, 2008 1 ulasan

Pengalaman pertama saya melalui fasa hidup baru ini memberi pelbagai erti dan persepsi. Variasi situasi warna hidup mendapat perasaan yang bercampur-campur. Ada sedih dan pilu, ada teruja dan gembira. Saat berada di dalam labour room Dewan Bersalin, Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu melihat manusia berhempas pulas menyambung keturunan melahirkan zuriat. Hampir sehari suntuk berada di sisi isteri bersabung nyawa, menahan pedih hasil ubat induce yang dimasukkan oleh doktor sebanyak dua kali.


Selepas lebih dua belas jam berada di dalam bilik gelap itu, doktor memutuskan untuk membuat penbedahan ceaserean kepada isteri saya disebabkan kemungkinan untuk bersalin secara normal agak tipis. Ini kerana tekanan darah isteri agak tinggi dan tidak menentu. Sekiranya dibiarkan tentu akan menjadi kesan yang lebih buruk.


16 Disember 2008 pukul 1.30 pagi, isteri diangkut menggunakan ambulan terus ke Dewan Pembedahan Intan. Saya ke hulur ke hilir mencari arah yang tidak menentu kerana memikirkan nasib dua insan yang berada tidak di depan mata. Perasaan risau dan gundah lebih menguasai daripada perasaan teruja atau suka. Sambil berpusing-pusing mencari tandas awam untuk mengambil wudhu’, tanpa disedari air mata yang sekian lama bertakung di kelopak mata ini jatuh ke bumi jua. Mulut terkumat-kamit berdoa agar Allah s.w.t. mempermudahkan kelahiran ini. Diselang seli dengan membaca puisi yang sempat ditulis di dalam labour beberapa jam sebelum itu. Air mata ini tidak mahu berhenti menitis.


Alhamdulillah, datang seorang berpakaian serba putih menjerit, “Waris Husna Mohammad!” Ah!, aku tertidur rupanya sambil berlinang air mata. Jam dilihat sudah hampir 3.30 pagi. Saya meluru ke pengusung mendapatkan isteri. Lalu jururawat menghulurkan sesuatu yang dibungkus kemas, sambil berkata, “Pegang ini, ‘Sok’.” Sok dalam dialek Kelantan bermaksur uri janin bayi yang dilahirkan.


Saya merenung melihat isteri yang tersenyum. Senyumannya ketika itu antara yang paling manis saya lihat. Allah s.w.t. mahu memberi kami berdua ujian untuk dilanda bersama lagi. Terima kasih Tuhan. Hanya Engkau penulis skrip hidup kami. Kami semua cuma patung-patung yang diberi fikiran untuk memilih.


Tepat jam 2.18 pagi, seorang lagi umat Muhammad lahir ke dunia ini. Alhamdulillah, moga dia datang pada saat ini memberi seribu satu macam kenangan yang mendatang.

Kelahiran

Ditulis oleh kawakib_duriyah Sabtu, Disember 20, 2008 2 ulasan

Alhamdulillah, setelah enam hari di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu. Isteri saya selamat pulang selepas melahirkan bayi lelaki pada jam 2.18 pagi pada 16 Disember 2008. Kelahiran terpaksa melalui kaedah ceaserean disebabkan tekanan darah yang agak tinggi berjaya melahirkan bayi seberat 2.6kg.

Saya sendiri berada di dalam labour room selama dua hari bersama isteri untuk memberi sokongan sepenuhnya. Namun kelahiran ini terpaksa melalui cara pembedahan juga. Terima kasih atas doa semua. Di bawah ini adalah gambar orang baru dalam kehidupan saya dan isteri untuk tatapan saudara mara dan sahabat handai.

Pohon tamar digoncang Maryam
Kerna bakal yang bakal lahir itu menjadi pengugat zaman
Perit pedih sebuah kelahiran
Memberi erti seorang manusia lahir
Bukan seperti angin berlalu di pinggir pekan
Tetapi satu tujuan untuk menjunjung Risalah Tuhan
KepadaMu kumohon dipermudahkan sebuah kelahiran

Kawakib Duriyah
15 Disember 2008
Labour Room 16
Dewan Bersalin, Hospital Raja Perempuan Zainab
Kota Bharu

Selamat Hari Raya

Ditulis oleh kawakib_duriyah Isnin, Disember 08, 2008 0 ulasan

Dalam relung-relung amal, kita cuba seikhlas padu. Mengapa masih terkenang dosa nan lalu? Hiruk pikuk gempita ujian dunia, adakah sama korban Ibrahim untuk Allah Tuhannya?
Salam 'Iduladha daripada Mat dan Husna.
"Bila bahagia bertangga, kau akan faham apa erti hidup bersama."

Orang Ketiga

Ditulis oleh kawakib_duriyah Rabu, Disember 03, 2008 0 ulasan

Mohon jangan disalahfahami tajuk tulisan ini. Ia bukan ada pengacau yang datang atau jauh sekali skandal yang melompat. Yang dimaksudkan dengan Orang Ketiga itu adalah kehadiran cahaya hati aku dan isteri buat kali pertama. Setiap hari dihitung setiap masa, bilakah orang ketiga itu akan hadir. Doktor dan tabib hanya mampu memberi nombor, tetapi nombor itu adalah milik Pencipta nombor itu jua akhirnya.

Kadang kala terdetik di hati. Ayahkah aku? Layakkah aku menjadi bapa kepada seorang manusia? Cetusan hati ini cuma muncul kerana aku merasa mungkin kerana cara hidup semacam keanak-anakan, ceria gembira, happening, rindu, syahdu, gurau tawa dan kasih sayang. Menjadi bapa bukan seperti menjawat jawatan pegawai di agensi kerajaan, atau menjadi chief department di syarikat perniagaan, atau bukan juga menjadi penghulu di sebuah kampung pinggir bandar. Menjadi bapa adalah amanah yang lebih dari itu. Menerima sehelai kain putih yang suci dan bersih, untuk diwarna mengikut acuan dan skala yang telah digarispandukan. Apa sahaja warna tidak mengapa, asalkan konsep, lakar asas, gabungan warna menepati ciri-ciri yang telah diposkan kepada semua manusia 1400 tahun dulu.

Kolotkah menggunakan surat yang sudah beratus tahun turun, dibaca setiap hari, dikaji segenap ciri, ditilik berhari-hari? Surat dari langit datang bersama manual panduan untuk manusia menjadi manusia dalam perspektif Pencipta. Kolotkah merujuk kepada surat ini?

Moga diharapkan aku dan isteri mampu memikul amanah ini. Bersama kerahan idea, imbangan pengalaman, analisa ilmu, pandangan tulus hati dan sejiwa kasih, aku memohon dipermudahkan urusan untuk mencorak kain putih ini. Gugusan warna, lakaran asas, panduan corak harap menepati manual yang telah dipos kepada kami sekian lama.

Menjadi bapa adalah cabaran besar untuk aku kali ini. Segala kasih, ilmu, memori, pahit manis hidup dan maklumat am, akan menjadi serangkap panduan untuk aku melukis setiap garis-garis di kain putih itu. Mohon dipermudahkan Tuhan, aku cuma terdetik di benak ini.